Kredit CINTA: Mawar Tetap Berduri
Di Ambang CINTA Bersemi
Farah sama seperti mana-mana gadis di ambang pertemuan dengan suaminya, mahu tampil secara terbaik di hari pernikahan dan majlis walimah nanti. Farah bertanya Syam, pakaian apa yang mahu dipakai agar mereka boleh tampil sedondong. Farah teringin memakai sepasang songket atau mana-mana baju yang cantik-cantik disewa di kedai pengantin.
Apa pandangan Syam?
“Tidak perlu rasanya. Membazir sahaja”.
Ada benarnya pendapat Syam. Farah sudah ‘survey’ dibeberapa kedai pakaian pengantin. Kos sewanya beratus juga. Sewa beratus untuk dipakai sehari sahaja memang membazir. Sedangkan membazir itu sahabat syaitan.
Bila disebut membazir, Farah berusaha melawan kehendak nafsu. Nafsu yang dituruti, seronoknya sekejap cuma. Selebihnya hanya perasaan menyesal yang menjadi teman. Lebih-lebih lagi, Farah mahu pertahankan prinsip untuk mendapat barakah dalam perjalanannya bertemu peneman cintanya sepanjang hayat, insya Allah.
Iya lah… siapa yang tidak teruja mahu berhias sebaik mungkin pada hari bergelar raja sehari. Fitrah wanita memang begitu; suka melawa dan suka benda yang cantik-cantik.
Sebagai gadis yang memahami dasar-dasar Islam, Farah akur sahaja pada pandangan Syam. Tidak perlu lagi berpolemik tentang hal remeh begitu. Sebagai alternatif, Farah membeli kain sendiri dan menghantar ke kedai jahit. Pakaian sendiri lebih menguntungkan kerana boleh dipakai berulang kali. Apa yang penting ialah, jenis kain dan potongannya selesa di pakai sepanjang masa.
Farah masih boleh memenuhi naluri kewanitaannya tanpa membelakangi syarak. Farah beli kain yang berkualiti dengan harga yang sederhana. Bukan sekadar pakaiannya sederhana, kad jemputan juga di tempah yang sederhana juga. Ia sudah mengambil kira pandangan ibubapa dan abang yang membantu. Menurut pemerhatian mereka dan juga Farah, lazimnya kad-kad jemputan yang cantik, mewah dan mahal itu akan dibuang begitu sahaja oleh para penerima jemputan. Bukankah ia membazir juga?
Allah berpesan di dalam surah al-Isra’, ayat 27,
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Bagaimana mahu mendapat reda dan barakah dari Allah jika dalam masa yang sama kita bersaudara dengan syaitan? Farah fikir ia sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh para pengharap reda Allah. Minyak dan air tidak mungkin bercampur. Itulah perumpamaan yang mudah difahami. Bila disebut syaitan, ia lambang kekufuran mutlak satu makhluk kepada penciptanya.
Keadaan semasa masyarakat perlu menurut acuan Islam, barulah boleh menurut mereka. Jika ia bertentangan dengan dasar-dasar Islam, maka wajarlah dipertahankan prinsip tersebut tanpa mempedulikan pandangan mereka. Fungsi kad jemputan ialah memberitahu atau memaklumkan tentang tarikh majlis walimah, lokasi dan masa. Justeru melalui kad yang sederhana sahaja sudah memenuhi maksud tersebut. Namun, jika terdapat kad yang cantik dan berkualiti tetapi harganya murah, ia masih boleh dipertimbangkan.
Akad Melimpahkan Mawaddah dan Rahmah
Hari akad menjelang tiba, Farah berhias secara sederhana bagi menyambut bakal suami. Berpakaian serba putih dan make up yang nipis, Farah menunggu di ruang wanita di rumahnya. Farah tidak keluar ke hadapan tetamu yang terdiri dari imam, bapa, adik beradik lelaki dan tetamu ajnabi yang lain. Perhiasannya hanya untuk suaminya dan lelaki bertaraf mahram yang harus melihatnya. Ia tidak akan dikongsi dengan orang lain yang tiada kena- mengena.
Farah bersungguh-sungguh mahu menjadi mawar berduri, indah dipandang mata kerana memelihara syariat. Apa gunanya berhijab sejak berusia 12 tahun, namun pada hari pernikahan, hijab dicabul dalam masa tidak sampai sejam! Hilanglah duri yang mengawal mawar selama ini. Ia bukan kehidupan dan tidak menjadi impian mana-mana gadis solehah.
Hijab perlu difahami dengan konsep yang lebih luas dari sekadar menutup aurat. Antara konsep hijab selain menutup aurat dengan sempurna ialah tidak bersolek seperti wanita jahiliyyah, menjaga batas pergaulan dengan lelaki ajnabi, tidak menghentakkan kaki untuk menzahirkan bunyi gelang yang dipakai dan tidak melunakkan@memanjakan suara bila berkomunikasi dengan lelaki ajnabi.
Farah perhatikan ramai gadis terlepas pandang akan hal ini di zaman sekarang. Para bapa pula tidak bertegas meskipun mereka terdiri dari pejuang-pejuang Islam. Sebelum majlis bermula, sebagai wali, ayah Farah membawa dokumen ke bilik Farah untuk ditandatangani. Itulah yang sepatutnya. Bukannya Farah yang keluar ke hadapan lelaki ajnabi yang berada di ruang tamu. Farah penuh mengharap pada rahmat Ilahi agar memberkati majlis walimahnya.
Barakah…barakah…barakah Ilahi…
Ia amat penting bagi Farah mengatasi segala nikmat yang ada di dunia ini. Bukankah Farah sudah berikrar, cintanya pada manusia adalah selepas cintanya pada Allah dan rasulNya? Jadi tiada manusia yang akan berjaya merentap prinsipnya itu selagi Allah bersama Farah; memberikan kekuatan dan menetapkan hatinya di atas iman dan taqwa.
Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, Adam sah menjadi suami Farah. Seusai akad dilafazkan, satu perasaan indah- sungguh indah dan mendamaikan-mengalir tenang di seluruh sanubari. Inikah janji Allah tentang mawaddah dan rahmah? Ia jauh berbeza dari perasaan semasa Farah meminati seseorang atau selepas menerima lamaran si jejaka yakni di alam pertunangan. Ia tidak sekali-kali akan dinikmati kecuali dengan akad yang direstui Ilahi dan restu kedua ibubapa.
Seusai doa dipanjatkan oleh imam dan anggota keluarga yang hadir, Syam melangkah masuk ke bilik menemui Farah. Kemudian pasangan yang baru bergelar pengantin ini solat hajat berjemaah. Selesai solat, Syam meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun Farah dan membaca doa. Kemudian Farah menyalami tangan Syam buat kali pertama dan mencium tangannya dan Syam pula mengucup dahi Farah.
“Kenapa ye…tiba-tiba sahaja abang merasa sayang sangat pada dinda ”, itulah kata-kata yang terluah selepas mereka bersalaman.
Lidah Farah kelu tidak dapat berkata. Rupa-rupanya Syam juga sedang mengalami perasaan mawaddah dan rahmah yang mengiringi akad sebentar tadi. Mereka terdiam. Hanya hati yang dapat menafsir emosi yang berterusan membuak di dada.
Benarlah janji Allah.
Benarlah janji Allah.
Sesungguhnya beruntung sekali hamba yang percaya padaNya dan mentaatiNya sepenuh jiwa dan raga.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Surah al-Rum; 21
Perasaan kasih kurniaan Allah amat berbeza dengan perasaan cinta ciptaan syaitan. Bagai warna hitam dan putih. Dari sudut mana pun, ia tidak sama.
Sungguh beruntung beriman kepada Allah.
Ini baru nikmat di dunia. Kebahagiaan di akhirat lebih kekal abadi.
Sungguh beruntung sekali.
Ya Allah, segala syukurku hanya untukMu…
Ya Allah, yang Maha Pengasih lagi Maha Pengasihani…
Segala puji hanya untukMu…
Yang menepati janjiMu…
Dan memilih daku untuk menjadi hambaMu yang beriman dan menyintaiMu dan rasulMu..
Ia sebuah cinta yang agung… milik para nabi dan rasul.
Ya Allah… tetapkanlah hatiku untuk menyintaiMu…
Hingga ke hembusan nafas terakhir…
Ya Allah… Sudah Engkau pertemukan dengan kekasih duniaku…
Aku ingin pula bertemu denganMu…
Melihat wajahMu nan indah… Di akhirat kelak…
Perkenankanlah Ya Allah…
Engkau terlalu baik padaku…
Tidak terbalas segala nikmatMu…
Dan ampunilah segala dosaku…
Salam dan selawat buat kekasihMu, Muhammad, para keluarga dan sahabatnya.
Farah mengiringi rasa gembira dengan lambakan syukur kepada Allah.
Inilah buah kesabaran menyimpan cinta!
Ummu Abbas
5.56am
8 Safar 1431H
wah3..tenks kerana mengaktifkan blog.
ReplyDeletesape wat ni?
ReplyDeletesalam
ReplyDeletesubahanallah
=)
@ain
ReplyDeleteni Mimie Mizah post
@Mard
subhanallah